19 March 2010

Keperluan kita III

Seorang yang beriman pula akan menikmati kehidupan yang luas di dunia ini. Hatinya akan menjadi tenang, walaupun satu dunia menentangnya. Samada dia kaya atau tidak berharta, hatinya sentiasa kaya. Kebendaan dan sekelian makhluk tidak sesekali menggugat takut dan harap nya kepada Allah Ta'ala. Ketika mati, Allah akan hantar malaikat untuk menyambut ruhnya dan memberi khabar gembira syurga untuknya. Malaikat akan menjaganya daripada diganggu syaitan dan langsung ia ditalkinkan untuk mengucap shahadah sebelum mati.

Kubur sentiasa menanti-nanti kehadiran orang beriman dengan ucapan "Selamat datang", dan layanan istimewa sedia menanti di dalam kubur. Isterinya yang solehah pula menanti disyurga 500tahun lebih awal untuk persiapan menyambut suami beriman. Segala persiapan disiapkan untuk kedatangannya ke dalam syurga. Satu demi satu orang yang beriman akan memasuki syurga yang disiapkan oleh Allah sehinggalah orang yang terakhir yang mempunyai sezarrah iman diterima masuk ke dalam syurga. Ketika itu, semua pintu-pintu syurga dan neraka akan ditutup rapat, dan kematian akan disembelih. Bergembiralah seluruh penghuni syurga dengan kegembiraan yang kita tak dapat bayangkan dan mereka akan memuji-muji Allah atas hidayah yang Allah beri kepada mereka. Sebaliknya penghuni neraka akan berasa sangat-sangat kecewa, yang kekecewaannya takkan dapat kita bayangkan.

Allah akan mengumumkan yang Dia redha kepada ahli syurga dan tidak akan lagi murka atas mereka. Ini lah nikmat yang paling agung.

Semuanya berpaksikan kepada iman dalam hati manusia.

Kita faham bahawa makan itu penting, maka kita usahakannya.
Tetapi iman lagi penting, mengapa tidak diusahakan?


Wallahu a'lam.

Keperluan kita II

Kerana jika seorang menderita tanpa makanan, maka satu hari derita itu akan berakhir. Samada dia akan dihilangkan laparnya, ataupun maut akan mengakhiri kelaparan tersebut. Selepas mati, kelaparan yang dirasai itu akan ditinggalkan. Begitu juga keperluan yang lain. Bahkan, jika dia senang sentiasa tanpa berlapar walaupun seketika, satu hari kesenangan itu akan dicabut apabila maut tiba.

Dan selepas mati, ada cerita yang berbeza, suasana yang berbeza, dan bekalan yang berbeza.

Sedangkan pula, seorang yang hidupnya tiada iman, maka dia akan menjalani hidup yang amat sempit walaupun disekelilingnya ada suasana kebahagiaan - rumah besar, kereta besar, isteri cantik, anak-anak yang professional. Lebih teruk lagi, jika manusia mati tanpa iman, maka dia akan lapar selama-lamanya, dahaga selama-lamanya, dan terseksa selama-lamanya. Makanan yang di neraka hanyalah akan lebih menyakitkan, minuman adalah air menggelegak dari darah dan nanah, teduhan dari api adalah bayang-bayang hitam yang akan lebih memanaskan.


Keperluan kita I

Assalaamualaikum wbt,

Untuk memenuhi keperluan seharian manusia seperti makanan dan minuman, semua sedia maklum bahawa dibelakangnya ada usaha. Tidak kira samada dia adalah seorang yang beriman atau pun tidak.

Dan kesannya, kita telah melihat manusia setiap hari keluar dari rumah mereka untuk memenuhi keperluan tersebut. Ada orang yang usahanya tidak jauh dari rumah, dan ada yang sanggup bersafar jauh-jauh tinggalkan anak isteri tercinta.

Namun, haruslah kita hayati bahawa iman adalah satu keperluan manusia yang paling utama. Ia lebih penting dari makanan dan minuman, tempat tinggal, atau pakaian. Malah, ia lebih penting daripada hidup atau mati manusia.

Kenapa?